Thursday 21 January 2016

NALURI KASIH SEORANG ANAK ANGKAT

NALURI KASIH SEORANG ANAK ANGKAT

Awal pagi semalam, kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan menyesakkan dada. Kerana menggalas tanggungjawab kepada Allah, diri dan majikan, kesukaran itu hanya dilihat sebelah mata. Dari sudut positifnya, dalam kesesakan itulah kita boleh cuba untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta.

Zikir adalah terapi diri. Pernahkah anda cuba untuk berzikir sepanjang perjalanan dari rumah sehingga ke tempat kerja atau dari tempat kerja pulang ke rumah? Tanpa perlu mendengar radio. Atau setidak-tidaknya beralih ke frekuensi 91.5 saluran IKIM.FM untuk mendengar ceramah-ceramah, usrah dan banyak lagi perkongsian maklumat untuk membentuk peribadi diri.

Lebih penting, semalam kami menghadiri satu training (rutin setiap hari Rabu) bersama trainer kami Ms. Lari Cannon. Bagi pembaca (ibu bapa yang tersenarai di dalam senarai menunggu ibu bapa angkat OrphanCARE) yang pernah menghadiri Parent Adoptive Training (PAP), pasti anda kenal Ms. Lari ni. Hari ni sedikit berbeza kerana kami dapat tonton video. YAY! Ms. Lari bawa sebekas popcorn, acah-acah di GSC J

Perkongsian kali ni bukan soal wayang, popcorn dan jauh sekali Ms. Lari. Apa yang ingin saya kongsikan adalah isi kandungan video yang kami tonton. Ia adalah sebuah video yang mengisahkan lima orang anak angkat dari China dalam perjuangan atau lebih tepat perjalanan mencari ibu bapa kandung mereka. Kisah kelima-lima anak gadis ini mengusik hati kecil saya.

Dipendekkan cerita, hanya seorang daripada anak-anak ini berjaya menjejaki ibu bapa kandungnya. Pertemuan itu bermula apabila Jenna terbang merentasi benua dari Amerika Syarikat ke Ma’anshan, China. Di sana, Haley dan keluarga angkatnya mula menampal poster di kawasan-kawasan pedalaman yang dirasakan berhampiran dengan tempat tinggal keluarga kandungnya.

Kuasa Tuhan, tidak beberapa lama selepas poster ditampal, seorang wanita (sepupu Haley) mendakwa dia tahu siapa keluarga Haley. Kemidian, seorang lelaki mendakwa dia bapa kandung Haley. Ternyata, pabila kedua-dua mereka duduk bersebelahan, iras wajah itu cukup kuat mengatakan mereka berkongsi DNA yang sama. Si bapa akui, dia tidak sempat bertemu anak bongsu kesayangannya buat kali terakhir. Gugur air matanya bagai memberitahu dunia, hatinya TIDAK SANGGUP!

Bayang si ibu langsung tidak kelihatan. Kesibukan kerja untuk menyara keluarga membataskan waktu untuknya bertemu Haley. Atau mungkin dia serba salah kerana ibu kandung Haley yang terpaksa melepaskannya pergi. Dia ditinggalkan hanya berbekalkan sekeping nota bertulis tarikh lahir Haley. Persoalan ini juga bermain di fikiran anak gadis ini tetapi dia masih positif untuk bertembung hakikat masa depan.

Keputusan DNA positif. Dan hari untuk bertemu ibu dan adik-beradik yang lain tiba. Saat bertemu, suasana menjadi sayu. Airmata mereka gugur, tetapi tidak Haley. Mungkin dia semakin kuat dan matang menerima hakikat. Kisah Haley memecah berita utama di China dan Amerika. Satu keajaiban telah berlaku. Bagi haley, dia kini lega kerana akhirnya, usaha untuk menjejaki kedua-dua orang tuanya berhasil.

Kenapa Haley ditinggalkan? “Kami tidak mampu untuk menanggung kehidupan. Seorang lagi anak perempuan bukan penyelesaian untuk kehidupan akan datang,”jawab ibunya. Apa yang pasti, di sini, soal gender atau jantina menjadi persoalan. Adakah anda juga (baik ibu bapa kandung atau ibu bapa angkat) meletakkan isu jantina masalah utama?




                                                            Keluarga angkat Haley di Amerika Syarikat. (ihsan JEANNIE BUTLER)


             Haley bersama kedua ibu bapa kandung serta adik-beradiknya yang lain dalam satu sesi pertemuan di Shanghai. (ihsan ZHU JUAN)


p/s: Apakata anda klik http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-wanita-menyusukan-anak-angkat untuk mendapatkan maklumat terperinci atau bertanya kepada ahli agama yang lebih pakar.






No comments:

Post a Comment