Tuesday 17 May 2016

MEMBERI KEPADA YANG MEMERLUKAN.

Perjuangan OrphanCARE meletakkan misi utama kami untuk menyelamatkan bayi dan kanak-kanak terbiar. Selain Baby Hatch, kami juga bertungkus-lumus melaksanakan tanggungjawab untuk menyatukan anak-anak yang dihantar ke rumah kebajikan atau institusi kembali bersama keluarga kandung mereka. Usaha yang kami jalankan ini bukan satu perjalanan yang mudah kerana sokongan dan bantuan dari pelbagai arah amat-amat diperlukan.

Beberapa minggu lalu, saya berkesempatan mengikuti Pegawai Sosial OrphanCARE bertemu anak-anak yang sudah kembali kepada keluarga mereka. Tujuan kami adalah untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai bantuan yang mereka perlukan untuk keperluan harian. Melalui maklumat ini, kami akan cuba salurkan maklumat tersebut kepada sebuah majalah tempatan iaitu CSR Magazine agar mereka dapat membantu kami memperoleh bantuan yang diperlukan. 
(THANK YOU CSR MAGAZINE).

Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun mencuri perhatian kami. Lawatan ke rumahnya disambut dengan senyuman dan menampakkan kegembiraan di wajahnya. Sambil-sambil kami berbual dengan si ibu, kanak-kanak ini mula duduk bersama kami. Sementelah dia ada bersama, kami bertanya apa yang diperlukan. Ringkas jawabnya, sebuah kotak pensel warna (senyuman di sebalik pipi gebu itu terus diukir!). “Untuk apa?” soal kami.

“Saya suka mewarna tapi mak tak bagi saya mewarna selalu sebab nanti pensel warna akan habis. Nak beli baru duit tak cukup.” Katanya. Pada masa sama, ibunya mengambil sehelai kertas yang diwarnakan si anak di dalam kelas seni di sekolah, sebagai hadiah Hari Ibu buat ibu tersayang. Hasilnya? Awesome! Dia pandai mewarna, daya kreativitinya pasti tinggi! Tetapi kekangan hidup membuatkan minatnya terbatas.





Ini baru sebahagian daripada kisah yang kami ceritakan. Sekotak pensel warna tidak mampu dibeli si ibu walaupun mungkin ada di antara pembaca blog ini yang tertanya-tanya,”Daif sangatkah kehidupan mereka sehingga tidka mampu membeli pensel warna berharga RM10 sahaja?” YA! Mereka tidak mampu. Susu coklat, kasut sekolah, beras, beg sekolah, kemeja untuk menghadiri temuduga kerja, tilam, kipas elektrik, bantal malah tikar juga mereka tidak mampu beli di dalam keadaan hidup yang sempit!

Kami di OrphanCARE gembira apabila ibu dan anak dapat disatukan semula. Pada masa sama, kami juga mengharapkan bantuan anda. Mungkin, kegembiraan yang kami rasakan ini juga boleh anda rasai andainya ada pihak di luar sana yang sudi membantu keluarga-keluarga ini menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Kami mengalu-alukan sumbangan dari pelbagai bentuk antaranya:
  • Sumbangan kewangan.
  • Sumbangan barang keperluan harian seperti beras, susu, milo dsb.
  • Barangan rumah seperti kipas, tilam, katil, almari pakaian dsb.

Bukan itu sahaja. Sekiranya ada di antara anda yang sudi menjadi sukarelawan untuk:
  • Mengajar tuisyen, lukisan dan kesenian, komputer ATAU
  • Menjadi pengajar untuk kelas memasak, baking, jahitan

Sila hubungi kami di talian 03-7887 9469/9459 atau emailkan kepada orphancare.anis@gmail.com.















Wednesday 11 May 2016

SAMBUTAN HARI LAHIR PERTAMA DI ORPHANCARE FOUNDATION


 
Kek harijadi istimewa dari ibu bapa Tia. Sedap!
 
Suasana di OrphanCARE seperti biasa. Kakitangan OrphanCARE mula memenuhi ruang pejabat seawal jam 8.00 pagi lagi. Di dalam jadual temu janji, beberapa tetamu akan datang ke sini atas pelbagai urusan termasuk kesudian untuk membantu client kami di bawah seliaan team Deinstitutionalisation. (TERIMA KASIH SEMUA!)

 
Lebih kurang jam 11 pagi, sebuah kenderaan yang agak familiar untuk kami diletakkan betul-betul berhadapan OrphanCARE. Sudah menjadi kebiasaan pasangan yang sudah melalui proses pengambilan anak angkat datang ke sini untuk bertemu kami, hanya sekadar berbual dan membawa anak mereka ke sini agar kami boleh melihat perkembangan si kecil.

 
Tetapi kali ini sedikit berbeza. Tia (bukan nama sebenar) dalam dukungan ibunya kelihatan sungguh comel! Gaun merah dan skaf berbunga di kepala melengkapkan penampilan si comel ini. Dari jauh, senyuman Tia meruntun hati kami. Rupa-rupanya ia adalah hari paling istimewa untuk Tia. Hari lahirnya yang pertama.

 
Sebiji kek diletakkan di atas meja oleh Mr. Steven (bukan nama sebenar). Dari perbualan kami, tidak sangka pasangan ini teruja untuk menyambut hari lahir Tia di OrphanCARE. Menurut mereka, sambutan hari istimewa ini lebih bermakna jika diadakan bersama orang-orang yang ‘menyatukan’ mereka bertiga. Kami benar-benar terharu! Hanya senyuman yang terus-menerus diukir sambal melihat  Tia yang masih kecil dan baru ‘dapat kaki’ (pandai berjalan) sibuk menjelajah ruang pejabat.

 
Thank you Mr Steven dan isteri kerana turut membuatkan kami berasa gembira dan dihargai. Kepada Tia, teruskan mengukir senyuman manis dan jadilah anak yang terbaik buat kedua ibu bapamu. Walau dari mana pun kami berasal, kamu tetap jantung hati yang paling berharga buat kedua ibu bapamu dan kami di OrphanCARE!

 

HAPPY BIRTHDAY TIA!